Sunday, September 13, 2009

ramadan dan kesykuran

Jumaat yang baru berlalu, Alhamdulillah, kami mengadakan majlis berbuka puasa. Makan nasi beriani lagi. Selesai berbuka puasa ramai yang terus balik rumah. Barangkali mahu sambung buka puasa kat rumah bersama keluarga. Hanya segelintir sahaja yang solat maghrib di masjid. Malam itu pula saya dipertanggungjawabkan untuk memimpin solat terawih. Alhamdulillah masjid kampung saya ni masih lagi penuh dengan makmumnya berbanding dengan masjid-masjid lain yang mana kebanyakan makmumnya sudah terkorban di pusat-pusat beli-belah. Selepas lapan rakaat, saf mula kekurangan sehingga 8 sah dan menjadi 4 saf bila berakhirnya solat witir. Itulah fenomena alam dan hakikat perjuangan. Justeru Allah menyeru hambanya menjadi kumpulan yang paling sedikit. Iaitu mereka yang bersyukur. Realiti hari ini, bangsa Melayu perlu dibangkitkan dari tidur. Dari mimpi yang indah. Setelah 52 tahun menikmati kemerdekaan, kita terlalu asyik sehingga lupa untuk bersyukur. Di bulan Ramadhan sepatutnya kita merapatkan barisan dan memohon keampunan dan menggerak kesyukuran, sebaliknya kita memecahkan barisan dan bersengketa. Pilihanraya kecil Permatang Pasir yang berlalu di adakan pada bulan Ramadhan bertujuan untuk mengurangkan persengketaan di kalangan rakyat. Sepatutnya SPR menghormati bulan Ramadhan dan memberi peluang kepada rakyat untuk menyempurnakan kewajipan rukun Islam yang ketiga ini. Bukankah bulan Ramadhan dilarang berperang. Namun, semuanya telah berlalu dan kini rakyat kembali tenang. Cuma wayang gambar bertajuk "Sammy Vellu dan MIC" serta "Soi Lek dan MCA" sedang box-office sekarang ini.

Minggu depan syawal bakal disambut dengan penuh sederhana dengan duit raya yang sedang diagihkan oleh kerajaan bagi membantu rakyat tanpa mengira agama dan keturunan. Tanpa mengira apa fahaman politik mereka. Pemimpin kita sentiasa prihatin. Tidakkah kita mahu menjadi orang yang bersyukur. Kakitangan kerajaan mendapat bonus awal. begitu juga peneroka felda. Sepatutnya mereka berterima kasih kepada pemimpin kita dan bersyukur... alhamdulillah.

Di negeri Terengganu pula awal-awal lagi pada hari 'megang' puasa kami sekeluarga dapat buah kurma dan air zam-zam dari YAB MB. Hebat dan jarang pemimpin Melayu dapat lakukannya. Bertambah hebat lagi bila MB menjemput tok-tok imam dari Mekah dan Mesir menjadi imam di masjid-masjid kita. Tetapi orang kita lebih ramai yang komplen dan kurang yang bersyukur atas usaha kerajaan ini. Sepatutnya kita bersyukur...

Insya Allah, saya doakan ramadhan ini mengajar kita erti syukur. Dan saya ucapkan selamat hari raya kepada semua. Saya menyeru semua rapatkan barisan dan bermaaf-maafan lah di antara satu sama lain terutama pemimpin-pemimpin yang dipilih rakyat di negeri Terengganu ini. Marilah kita lupakan sengketa lama, hendaklah kita berlapang dada, tunaikan amanah rakyat dan perbaikilah kelemahan dengan penuh hikmah dan bbijaksana. Selamat berpuasa dan selamat hari raya...

No comments:

Post a Comment